Pendidikan seksualiti di sekolah: satu analisis

 Soalan segmen temu ramah

1. Apakah pendapat cikgu terhadap pelancaran pendidikan seks dalam pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah?

Bagi pendapat saya, sebagai seorang pendidik, pelancaran pendidikan seks dalam silibus pendidikan di sekolah adalah kena dengan masanya dan bertepatan dengan situasi semasa pada masa kini.

Hal ini kerana, keadaan perilaku masyarakat adalah berlegar dalam budaya hypersexuality iaitu banyaknya berpunca daripada media. Pada zaman dahulu, media tidak begitu meluas penggunaannnya. Berbanding sekarang, media telah menjadi alat manusia untuk berkomunikasi dan manusia merealisasikan eksistensi diri mereka di dalam media; berbanding generasi dahulu yang lebih konservatif dan tertutup.


2. Adakah pendidikan seks sejak sekolah rendah dan sekolah menengah merupakan satu perkara yang penting?


Seperti yang saya katakan di atas, ia kena pada masanya akibat daripada penyalahgunaan media massa secara berlebihan. Sebagai guru, hal yang merisaukan saya adalah hal berkait seksualiti; iaitu penyebaran video lucah, hentai dan anime yang mengobjektifikasikan gender perempuan, dan ini juga menjadi tempias kepada kanak kanak, bukan saja pada remaja. Kanak kanak yang masih naif, apabila menonton genre begini, akan mengenali tubuh badan mereka secara tidak sihat (baca: mempelajari badan mereka dari video lucah).


Kejadian kejadian mencabul adalah acapkali berlaku juga dalam kalangan pelajar sekolah rendah, samada sesama sepupu, atau anak jagaan, anak jiran, kawan sekelas, adik beradik, hasil daripada menonton video lucah. Jika mereka diberikan satu sesi khas yang bersifat formal akademik di sekolah, saya percaya mereka akan lebih matang dan tidak belajar seksualiti daripada rakan sebaya dan video tersebut.



3. Pada pendapat cikgu, bagaimanakah pendidikan seperti ini akan memberi kesan kepada pelajar dari segi pemikiran dan dalam kehidupan mereka?


Ini merupakan soalan yang sangat menarik kerana ini adalah punca mengapa pendidikan seksualiti ini penting. Kerapkali soalan yang sama ada diajukan kepada media massa dan terutamanya para ibu bapa yang agak cemas dalam pendidikan seksualiti.


Daripada pembacaan jurnal dan tulisan akademik lainnya berkenaan apa itu seksualiti, pendidikan seksualiti ini sebenarnya lebih terbuka dibincangkan di negara barat. Mereka, ideologinya adalah tidak konservatif. Jadi, perbincangan di sana adalah lebih matang dari di Malaysia yang dominasinya adalah agama Islam dan pemikiran mereka pula konservatif.


Pendidikan seksualiti yang difahami oleh rata rata rakyat di Malaysia adalah semata mata seks. Hujah ini amat dangkal sama sekali kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Pendidikan seksualiti sebenarnya meluas titik perbahasannya dan banyak merangkumi aspek daripada mereka kanak kanak, sehingga kepada dewasa.


Sebagai contoh, sub topik dalam pendidikan seksualiti sebenarnya merangkumi parenting skills, woman empowerment, sexual consent (keizinan dalam sebuah perkahwinan kerana tubuh badan adalah hak milik setiap individu dan bukan milik orang lain), kesihatan seksual (penyakit kelamin), perlindungan seksual, orgasm laki laki dan perempuan, isu berkait gender (contoh: kemiskinan haid), kepentingan perancangan keluarga (masih ada orang dewasa yang sudah berkahwin pun tidak tahu apa itu perancangan keluarga!).


Jika kita melihat daripada sudut manusia, saya beranggapan pendidikan seksualiti sebenarnya adalah satu persediaan untuk kita semua menjadi ibu bapa yang baik dan terdidik di masa hadapan. Mengapa? Saya berikan contoh pragmatik.


Ada ibu bapa yang tidak ada pengetahuan pun dalam sexual consent dalam perkahwinan. Perbahasan agama sebenarnya bagi saya, belum lagi maju seperti mana perbahasan ilmu moden ini di negara barat. Jarang dibincangkan dalam konteks agama tentang sexual consent. Disebabkan itu mengapa masyarakat tidak mengenal sexual consent (kerana agama yang dominan dalam masyarakat tidak mengajarkan mereka hal demikian); dan apabila mereka berkehendak sahaja, mereka memaksa pasangan mereka tanpa mengambil kira psikologi pasangan yang mungkin letih, sakit dsbgnya. 


Ada juga manusia ingat tidak ada istilah rogol dalam perkahwinan kerana mereka menganggap hubungan perkahwinan yang sah, walaupun dipaksa, bukan merogol. Ini pada saya, langsung tidak ada ihsan sebagai manusiawi.


Satu lagi contoh yang agak menyedihkan, adalah berkenaan family planning. Tubuh badan manusia sebenarnya hak milik masing masing. Tidak ada sesiapa yang berhak ke atas tubuh badan kita sendiri melainkan diri kita sendiri. Tuhan juga mengamanahkan kepada kita menjaganya.


Apabila tidak ada ilmu dalam family planning, anak anak yang dihasilkan adalah melebihi daripada keupayaan ibu bapa untuk menjaganya. Hal sebenarnya, family planning adalah satu rahmat dalam sebuah keluarga. Orang yang tidak mahu menjalankan family planning dan menyiksa pasangan untuk melahirkan anak saban tahun tanpa mengira tahap kesihatan pasangan masing masing, adalah tanda mereka tidak menghormati pasangan mereka, dan manakala mereka yang teraniaya itu pula, tidak pula menghormati keadaan tubuh sendiri.


Isu yang terbaru adalah berkenaan kemiskinan haid. Saya mencadangkan saudara untuk menonton filem hindi pad man, dan mengapa sebenarnya produk kebersihan tersebut adalah merupakan kemanusiaan, melebihi semata mata bertumpu ibadah manusia di dalam masjid.


4. Pada pendapat cikgu, apakah langkah yang penting dan berkesan untuk memberi kesedaran kepada khalayak terutamanya pihak ibu bapa tentang kepentingan pendidikan ini?


Bagi saya, kesedaran ibu bapa belum lagi dicapai sepenuhnya kerana mereka rata rata tidak ada ilmu tentang hal ini. Jawapan yang saya boleh berikan adalah, para guru sendiri yang harus mulakan gerakan pencerahan bermula di sekolah sebagai tempatnya mendidik. 


Saya melihat, pendidikan seksualiti di sekolah adalah bertumpu kepada masalah kelucahan. Walhal, pendidikan seksualiti harus cuba diteroka dan dibincangkan dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah yang lebih matang. Para guru boleh mencari topik yang sesuai dengan umur mereka.


Pendidikan seksualiti ini bersifat jangka masa panjang. Ramai orang tidak perasan akan hakikat ini. Pendidikan seksualiti yang betul sebenarnya akan mempersiapkan para bakal ibu bapa yang lebih baik di masa depan, malah lebih berkualiti. Pendidikan seksualiti, adalah sebenarnya mendidik manusia dewasa menjadi ibu bapa yang baik dan terdidik!


Comments

Popular posts from this blog

Postgraduate studies: First 4 weeks in UIA

Al-Ghazali: Munqidh Min Al-Dalal

What is Linguistics?